Haji Muhammad
Hanif bin Haji Hosainel Majidi1
1Nara
Martial Arts Academy
ABSTRAK
Parang lading merupakan senjata orang Kedah sejak
turun-temurun. Ia merupakan senjata para panglima Kedah yang direkodkan dalam
Perang Musuh Bisik. Perkataan “lading” telah direkodkan di dalam kamus
Melayu-Belanda-Perancis sejak abad ke-17 lagi. Selain daripada senjata, ia juga
turut digunakan bagi tujuan perladangan dan pertukangan. Di Kedah, parang
lading merujuk kepada sejenis parang yang mempunyai pangkal bilah yang tebal
berbentuk segitiga atau “pelepah kelapa”. Bilahnya tirus di pangkal dan kembang
ke hujung dalam bentuk “daun palas” dan mempunyai lentik yang dikenali
diantaranya sebagai “pelepah pisang” atau “patah kepak”. Kajian ini cuba
mengklasifikasikan parang lading dari segi tipologi dengan menumpukan kepada
bentuk bilah dan juga hulu. Perbezaan ini juga menjadi identiti unik dan
menggambarkan kepelbagaian fungsi setiap jenis parang lading. Hulunya biasanya
diperbuat daripada tanduk kerbau atau kayu dan berbentuk tapak kijang atau
tapak kuda. Selain daripada itu, perbandingan dengan lading yang didapati di
Sumatera Barat dan beberapa contoh parang lain yang turut dipanggil “lading”
atau berbentuk seakan-akan lading turut akan disentuh untuk membezakan lading
Kedah dengan lading daripada daerah yang lain.
Kata kunci: Kedah; lading; parang; silat
1.
PENGENALAN
Parang lading merupakan senjata tradisi orang Kedah yang telah
digunakan sejak sebelum Perang Musuh Bisik (1821-1842). Spesimen-spesimen
parang lading yang antik masih boleh didapati dalam koleksi muzium dan juga
peribadi. Selain daripada senjata, parang lading turut digunakan dalam
pertanian dan pertukangan. Tujuan kajian ini adalah untuk mendokumentasikan
jenis-jenis parang lading dan juga berbezaan morfologinya berbanding dengan
parang-parang lain seperti kelewang Kelantan dan parang ilang Sarawak. Terdapat
juga parang latok di Sarawak yang mirip kepada lading patah kepak.
Secara amnya, parang lading mempunyai bilah yang tirus di pangkal
dan melebar ke hujung. Bentuk ini dikenali sebagai “daun palas”. Bentuknya yang
unik dengan bilah yang berat ke hujung menjadikannya alat menebas dan menetak
yang amat berkesan. Dalam persilatan, parang lading turut digunakan untuk
menghiris. Bentuk bilahnya yang melengkung dan melebar ke hujung memberikan
momentum yang lebih untuk menebas dan menetak. Namun begitu, morfologinya yang
unik merupakan satu cabaran kepada tukang besi untuk menghasilkannya secara
komersil suatu masa dahulu. Pangkal bilah parang lading mempunyai keratan
rentas berbentuk segitiga yang dikenali sebagai “pelepah nyior”. Lentik atau
lengkungan bilah parang lading mempunyai variasi yang tinggi. Ada yang hampir
lurus, manakala ada juga yang mempunyai lentik yang agak ekstrim. Bentuk lentik
ini dikenali dengan nama-nama seperti “pelepah pisang” dan “patah kepak”. Hulu
parang lading pula biasanya diperbuat daripada tanduk kerbau kerana tanduk
kerbau merupakan bahan yang agak liat dan tahan hentakan. Ada juga pihak yang
menyatakan bahawa hulu tanduk kerbau juga kurang licin jika terkena darah
berbanding dengan kayu.
2.
METODOLOGI
Kajian ini mengambil pendekatan menggunakan pelbagai sumber seperti
sumber lisan, penulisan dan artifak.
2.1.
Sumber
lisan
Sumber lisan terdiri daripada responden-responden yang mempunyai
koleksi parang lading, tukang besi yang membuat parang lading dan juga pengamal
persilatan yang menggunakan parang lading sebagai senjata di dalam aliran
persilatan mereka. Sumber lisan merupakan sumber utama untuk kajian ini.
2.2.
Sumber
bertulis
Sumber bertulis untuk kajian ini tidak banyak. Sumber bertulis utama
terdiri daripada buku-buku lama dan juga bahan bercetak yang dihasilkan oleh
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Sumber dalam talian juga kurang didapati.
2.3.
Sumber
artifak atau fizikal
Sumber artifak atau fizikal terdiri daripada parang lading antik
yang disimpan oleh individu-individu tertentu sebagai koleksi atau pusaka.
Contoh-contoh di muzium juga turut digunakan. Selain daripada itu, beberapa
bilah contoh lading yang baru dibuat juga dijadikan sumber kajian tipologi.
Kajian morfologi pula dibuat berdasarkan specimen-spesimen yang didapati
daripada individu, muzium dan juga sumber-sumber dalam talian.
3.
KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN
Parang lading hampir pupus sehinggalah sekitar tahun 1970an di mana
Pengasas dan Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, almarhum Ustaz
Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah menjadikannya sebagai senjata rasmi Seni Silat
Cekak. Ustaz Hanafi juga telah memperkenalkan parang lading ketika Konvensyen
Silat Melayu di USM Pulau Pinang pada bulan Julai 1973. Sejak daripada itu,
parang lading sering dianggap sebagai senjata pengamal Silat Cekak. Tindakan
beliau secara tidak langsung telah menghidupkan semula pembuatan parang lading
di Kedah. Sekitar tahun 2018, pembuatan parang lading semakin mendapat
permintaan daripada pengamal persilatan dan peminat senjata tradisional.
Namun begitu, tidak bermakna parang lading ini hanya wujud sekitar
tahun 1970an sahaja. Keberadaan specimen-spesimen lama yang boleh ditentukan
daripada lewat abad ke-18 dan awal abad ke-19 menunjukkan bahawa parang lading
ini sudah wujud sekian lama. Penggunaan lading di dalam persilatan Melayu juga
menunjukkan bahawa ia sememangnya sebahagian daripada peradaban Melayu. Silat
Cekak bukanlah satu-satunya seni silat yang menggunakan parang lading sebagai
senjata. Seni Silat Gayong Harimau dan Seni Silat Gayong Harimau Hitam
merupakan antara silat Melayu yang menggunakan parang lading sebagai senjata.
Selain daripada Kedah, parang lading turut dijumpai di Acheh dan
daerah Minangkabau. Di Acheh, ia dikenali sebagai lading Acheh atau roedoes
lentik. Di Minangkabau pula, ia dikenali dengan nama ladieng, dan parang lading
yang paling mirip kepada lading Kedah dipanggil ladieng puntuang. Selain
daripada itu, kelewang di Kelantan juga mempunyai morfologi yang hampir dengan
lading. Parang ilang di Sarawak juga mempunyai profil bilah yang serupa tetapi
pangkal bilahnya berbeza. Satu jenis lagi lading yang terdapat di Semenanjung
Malaysia dikenali dengan nama lading Banjar. Perbandingan morfologi adalah
penting untuk mengelakkan kekeliruan antara parang lading Kedah dan parang
lading dari daerah lain atau parang yang seakan-akan lading.
Rekod bergambar terawal yang dijumpai setakat ini bertarikh 1908
yang memaparkan sebilah parang lading yang mempunyai rambu di hulunya. Lading
turut disebut di dalam hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan, Syair Hemop
serta Hikayat Banjar dan Kota Waringin. Sebilah parang lading turut dipaparkan
di dalam buku Rupa dan Jiwa. Selain daripada itu, sumber rujukan utama ialah
daripada bahan-bahan bercetak yang dihasilkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak
Malaysia. Spesimen parang lading turut dipamerkan di Muzium Negara dan Muzium
Negeri Kedah.
Hasil daripada kajian ini, dua gambarajah tipologi dan morfologi
parang lading telah dapat dipaparkan.
Gambarajah 1. Tipologi parang lading Kedah
Gambarajah tipologi ini dihasilkan daripada pemerhatian terhadap
specimen-spesimen fizikal dan juga gambar-gambar yang telah ditemui. Ia
menunjukkan variasi di antara jenis-jenis parang lading Kedah yang mungkin
mewakili identiti tertentu dan mempunyai fungsi yang berbeza.
Gambarajah 2. Morfologi parang lading dan
parang-parang lain yang serupa
Gambarajah morfologi ini boleh digunakan untuk membezakan parang
lading Kedah dengan jenis-jenis parang lain yang mempunyai nama atau bentuk
yang serupa.
3.1.
Perbincangan
Kajian ini merupakan kajian asas yang hanya menyentuh aspek fizikal
parang lading. Tujuan utama kajian ini adalah untuk mendapatkan gambaran asas
mengenai ciri-ciri khusus parang lading supaya satu sistem pengecaman boleh
dirangka dan digunakan untuk mengenalpasti serta membezakan parang lading Kedah
dengan parang lading lain dan juga jenis-jenis parang yang serupa. Satu lagi
cabaran di dalam melaksanakan kajian ini ialah kekurangan sumber bertulis.
Pengkaji terpaksa mendokumentasikan maklumat lisan daripada
responden-responden untuk dijadikan rujukan bertulis bagi kajian akan datang. Kebanyakan
sumber lisan hanya dapat memberikan maklumat berkaitan morfologi lading dan
sedikit latar belakang mengenai spesimen tersebut. Sumber persilatan pula lebih
menumpukan kepada kaedah pertempuran dan seni permainan parang lading.
Kekurangan sampel fizikal juga menjadi satu cabaran kerana
kebanyakan spesimen yang dijumpai sama ada specimen antik atau spesimen yang
ditempa selepas tahun 1970an. Terdapat jarak masa lebih kurang seratus tahun di
antara dua kategori spesimen tersebut.
4.
KESIMPULAN
Kajian mengenai parang lading ini boleh diperluaskan lagi dengan mengkaji
etimologi perkataan “lading”, falsafah di sebalik rekabentuk dan juga
penggunaan lading, kajian struktur mikro dan metalurgi, kaitan lading dengan
sejarah peradaban Kedah serta penggunaan lading dalam konteks persilatan.
PENGHARGAAN
Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Nara Martial Arts
Academy, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, para responden dan juga
individu-individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam
menjayakan kajian ini.
RUJUKAN
Hill,
A. H. (1956). The Kěris and other Malay Weapons. Journal of the Malayan
Branch of the Royal Asiatic Society.
Jabbar,
S., Bakar, N. A. A., Baharom, N., & Jasmani, F. (Eds.). (2021). Kamus
Dewan Perdana (3rd Edition). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jamal,
S. A. (2010). Rupa & Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Malaysia,
P. S. S. C. (2014). Istiadat Sembah
Junjung Kasih Parang Lading.
Malaysia,
P. S. S. C. (2015). Jubli Emas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
(1965-2015).
Marsden,
W., & Elout, C. P. J. (1825). Dictionnaire Malai, Hollandais et Francais
= Maleisch, Nederdutitsch en Fransch woordenboek.
Muhammad
Hanif, H. M. (2021, September). Pedang, Sundang dan Parang: Persamaan dan
Perbezaan. Dewan Budaya, 44–47.
Wright,
A. (Ed.). (1908). 20th Century Impressions of British Malaya: Its history,
people, commerce, industries and resources. London: Lloyd’s Greater Britain
Publishing Company, Ltd.
Malay Concordance Project. Australian National University. Retrieved September
12, 2024.
https://mcp.anu.edu.au/cgi-bin/tapis.pl
Kertas kerja ini telah dibentangkan di i-STET USIM pada 16 Oktober 2024.